Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Industri pelancongan di Turki menyaksikan kemerosotan yang teruk berikutan suasana tidak selamat yang wujud di negara itu akibat daripada beberapa serangan pengganas yang menggegarkan beberapa kota utamanya.
Angka rasmi menunjukkan bahawa pelancong asing yang melawat Istanbul telah menurun kepada 9.2 juta orang pada tahun 2016 daripada 11.6 juta orang yang dilaporkan pada tahun 2015. Perkara itu dilaporkan oleh sebuah media tempatan pada hari Khamis lepas.
Menurut laporan itu, penurunan tersebut mempunyai kaitan dengan beberapa siri serangan yang dilancarkan pengganas ke atas ibu kota itu.
Sepanjang tahun 2015 dan 2016, beberapa pusat pelancongan Istanbul telah diserang oleh kumpulan pengganas sama ada daripada puak militan Kurdis yang sedang bertempur dengan kerajaan Ankara ataupun oleh kumpulan pengganas Takfiri Daesh yang aktif di Syria dan juga di Iraq.
"Lapangan terbang diserang, Sultanahmet diserang, kemudian Taksim diserang dan akhirnya (kelab malam) Reina," kata Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pelancongan Turki, Cetin Gurcun.
Selain daripada itu, para pekerja sektor tersebut mengatakan bahawa siri serangan pengganas itu telah mewujudkan perasaan takut di kalangan pelancong asing.
"Inti masalah adalah serangan pengganas tidak berhenti. Mereka yang mahu melawat sesebuah negara mahukan jaminan... Saya memahami mereka, perkara ini adalah reaksi normal seorang manusia," kata Yavuz Indere yang bekerja di sebuah hotel yang terletak di Istanbul.
17 Januari 2017 - 17:44
News ID: 805573
Industri pelancongan di Turki menyaksikan kemerosotan yang teruk berikutan suasana tidak selamat yang wujud di negara itu akibat daripada beberapa serangan pengganas yang menggegarkan beberapa kota utamanya.